Saturday, 12 January 2013

Cinta Bermusim?




Cinta pada Allah hanya bermusim? Selalu sahaja rasa seperti ini. Kadang-kadang, kita seolah-olah mencintai Allah ada masa tertentu sahaja. Ada masa kita tingkatkan ibadah kerana mahu Allah berikan sesuatu nikmat, pada masa lain, ketika kita dibuai nikmat itu, kita penuhkan hari-hari dengan hal-hal lagha. Kemudian, bila ditimpa musibah barulah mencari Tuhan. Aku tidak tahu. Sehari dua ini terasa aku seperti itu. Ini adalah bukti bahawa iman itu boleh menurun dan bertambah. Sekalipun ada masanya imanku goyah, aku bersyukur Dia sentiasa ada di sisi dan menyedarkanku hidup di dunia ini hanya sementara.

Monolog 10.00pm…

Ya Allah, bolehkah hamba menumpang di rumahMu malam ini? Hamba rindu mendengar azan subuh di sini. Hamba rindu dikejutkan azan dan menjadi terdorong untuk sujud kepada-Mu pagi ini. Hamba gundah ya Allah. Hanya Engkau yang tahu betapa hati hamba terbeban. Hamba bukannya ingin terlampau memikirkan masalah-masalah ini. Namun, hamba cuba untuk menyelesaikannya. Dan untuk menyelesaikan masalah itu hamba akan berasa keperitannya. Hamba sedih kerana buntu, apakah yang harus hamba lakukan?. Hamba berharap agar Engkau yang Esa maafkan hamba.

Ya Allah, hamba tidak ingin lari dari masalah. Hamba ingin berdepan masalah dan menyelesaikannya. Izinkanlah hamba menumpang di sini ya Allah. InshaAllah esok hamba akan teruskan pencarian buku itu. Hamba rasa bersalah ya Allah. Itu adalah amanah. Sama seperti jasad dan nyawa yang Engkau berikan kepada hamba. Jasad dan nyawa ini harus hamba pelihara sewajarnya. Ya Allah, hamba berharap esok hamba berupaya untuk menjumpai buku itu. Dan esok hamba akan menghantar softcopy itu, kerana hamba tidak tahu di mana bilik beliau. Hamba mohon agar beliau berlembut hati.

Ya Allah, maaf. Jika apa yang hamba mampu lakukan hanyalah mengadu terhadap-Mu. Banyak masalah memberat di fikiran hamba. Ya Allah, hamba minta maaf kerana hamba jahil.Malam ini, kaki hamba melangkah ke sini, kerana hamba rindu. Hamba tidak kuat . Hamba ingin bermalam di sini, bolehkah? Hamba ingin terjaga pada pukul 3 tatkala imam dating untuk qiamullail berjemaah. Hamba ingin qiam. Hamba ingin menangis. Jika hamba balik ke bilik, hamba tidak berani untuk kesini pada pukul 3 pagi, malahan bahaya. Namun jika hamba tidur di sini dengan mudahnya hamba akan tergerak untuk qiam. Samalah seperti bulan Ramadhan itu. Namun seribu kali sayang, jarang sekali hamba lihat Jemaah qiamullail pada bulan-bulan biasa. Hamba rindu saat itu ya Allah. Dan hamba menyesal tidak rajin singgah di sini pada waktu itu. Hamba harap, malam ini akan ada yang membangunkan hamba. InshaAllah,...

Hamba ingin menitiskan airmata ya Allah. Hamba tidak ingin jauh dari-Mu… Hamba menunggu hidayah dari-Mu ya Allah. Dan hamba mencari hidayah-Mu. Ya, hidayah itu adalah Islam, sudah turun dan Engkau kirimkan rasul-rasul-Mu untuk menyebarkan hidayah itu ke serata alam.

Hatiku hilang…aku mencarinya kembali. 



11: 03
Dan lampu masjid ditutup .Lalu aku keluar.Biarlah aku pulang sahaja. Aku serik kerana masa lalu. Mungkin kini bukan seperti dulu. Mungkin bukan musim qiam. 




No comments:

Post a Comment